Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Isu projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) 'lantanid' di Hulu Perak menjadi tumpuan hangat di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Sesi sidang yang baharu sahaja bermula panas dan kecoh seketika selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan berhubung perkara berkenaan yang diutarakan oleh Yahaya Mat Nor (Pasir Panjang-PH).

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Yahaya bangkit memberi soalan tambahan iaitu Salbiah Mohamed (Temenggor-BN), Datuk Aznel Ibrahim (Pengkalan Hulu-BN), Datuk Mohd Tarmizi Idris (Kenering-BN) dan Howard Lee Chuan How (Pasir Pinji-DAP).

Meskipun sudah berulang kali isu dibangkitkan dan mendapat penjelasan di peringkat kerajaan negeri bahawa projek masih berdepan beberapa proses kelulusan sebelum kerja melombong, isu masih terus mendapat pertikaian.

Saarani menegaskan, kerajaan memberi jaminan nadir bumi itu selamat untuk diterokai.

"Pendirian kerajaan negeri begitu jelas dan tegas bahawa tidak akan dilangsungkan jika bahan merupakan sumber bahan radioaktif.

"Kita tidak akan mempertaruhkan nyawa kesihatan dan nyawa manusia hanya semata-mata untuk mencari pendapatan baru, sudah disahkan oleh Jabatan Atom bahawa sumber berkenaan bukanlah sumber radioaktif," katanya.

Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa projek rintis masih melalui beberapa proses sebelum kerja melombong boleh dilaksanakan.

"Seperti yang kita maklum, ini adalah peringkat projek rintis bermakna bermakna belum lagi mendapat hasil apa-apa, selepas semua SOP dipatuhi dan syarikat berkenaan sudah boleh memulakan projek barulah kita boleh lihat sama ada nadir bumi berkenaan boleh diproses di negara ini.

"Tak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tegas dengan peraturan serta undang-undang ditetapkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan dari Yahaya berhubung rungutan banyak pihak mengatakan bahawa projek dibuat kawasan berada di kawasan sensitif.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberi jaminan perubahan kerajaan pada masa akan datang tidak menjejaskan terhadap kesinambungan pelaksanaan projek.

"Sebenarnya NR-REE ini sudah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH), kemudian kepada Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya kepada saya sekarang.

"Jika sekalipun berlaku pertukaran kerajaan, jika ia (lantanid) adalah sumber yang baik untuk kita jadikan pendapatan tidak perlulah kita nak tukar dan teruskan kerana ia adalah satu sumber baharu kepada kerajaan negeri," katanya.

Aznel yang kemudian bangun memberi soalan tambahan berhubung adakah kerajaan mengkaji lebih mendalam kesan sebelum merancang mengeluarkan mineral itu supaya penduduk sekeliling tidak berasa bimbang.

Howard yang turut bangkit yang melontarkan soalan tambahan isu yang sama berhubung kesan projek mendapat reaksi panas dan saling berbalas dengan Datuk Abd Manaf Hashim.

Mohd Tarmizi selaku ADUN di kawasan pelaksanaan projek turut bangun mengutarakan bahawa perlu dikaji semula kerana mungkin memberi kesan besar kepada penduduk.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil contoh bencana banjir dan kepala air yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini berikutan bimbang mungkin berlaku perkara sama di kawasan projek rintis perlombongan lantanid itu.

"Andai kata berlaku berlaku perubahan kepimpinan kerajaan kita tidak tahu, kesannya nanti kita tidak tahu.

"Kedudukan kawasan itu memberi kesan yang cukup besar, jadi sejauh mana jaminan kerajaan negeri kawasan yang digondolkan dengan kesan korekan kolam yang tidak diluluskan sebelum ini itu dapat dihijaukan semula dalam tempoh masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 1:00 PM