SEORANG penjawat awam dan remaja perempuan, antara 13 yang ditahan dalam serbuan sebuah parti liar yang diadakan di sebuah unit pangsapuri mewah di Medini. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG penjawat awam dan remaja perempuan, antara 13 yang ditahan dalam serbuan sebuah parti liar yang diadakan di sebuah unit pangsapuri mewah di Medini. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Seorang penjawat awam dan remaja perempuan antara 13 individu yang ditahan di sebuah unit pangsapuri mewah di Medini di sini, kerana berhibur dalam parti liar yang dianjurkan sejak Sabtu.

Serbuan pada 4 pagi semalam dilakukan hasil risikan oleh pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menahan 10 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 17 hingga 27 tahun yang leka berhibur.

"Siasatan awal mendapati penganjur parti mengajak suspek yang terbabit menyertai parti itu menerusi aplikasi WhatsApp dan mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran.

"Parti telah bermula kira-kira 9 malam Sabtu lalu dan dijadualkan berakhir lewat pagi Ahad (semalam). Antara ditahan penjawat awam berusia 27 tahun dan remaja 17 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pihaknya turut merampas set pembesar suara dan set peralatan lampu laser, manakala ujian saringan air kencing mendapati sembilan suspek lelaki dan dua suspek perempuan positif dadah.

Katanya, semakan lanjut turut mengesahkan dua daripada individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan peruntukan berkaitan kerana melanggar (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 9:38 AM