KEHARMONIAN penduduk yang pelbagai bangsa dan agama nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini
KEHARMONIAN penduduk yang pelbagai bangsa dan agama nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini
Fazurawati Che Lah

Sokongan luar biasa golongan muda ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini yang mewakili lebih 40 peratus pengundi berdaftar membuktikan semangat cintakan negara tidak pernah luntur malah semakin utuh dalam jiwa golongan ini.

Itu antara medium yang disampaikan golongan muda dalam menyampaikan semangat patriotisme kepada kedaulatan negara.

Situasi ini sedikit sebanyak mampu menolak persepsi sesetengah pihak yang mendakwa golongan muda masa kini tidak menjiwai semangat kemerdekaan.

Tetapi, di sebalik sokongan itu, terdapat segelintir masyarakat kurang menyenangi dan mendakwa semangat kemerdekaan dalam kalangan orang muda semakin pudar.

Ini dilihat apabila menjelang kemerdekaan, tiada lagi Jalur Gemilang dikibarkan di atas kenderaan sebagai sokongan kepada kebebasan negara kita.

Pada 31 Ogos pula, ramai memilih berehat di rumah berbanding meraikan dan memeriahkan majlis sambutan kemerdekaan kerana tarikh itu adalah cuti umum.

SEMANGAT patriotik golongan muda berbeza dengan yang lama.
SEMANGAT patriotik golongan muda berbeza dengan yang lama.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya Kesenian Melayu Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sokongan ketika PRU14 itu sekali gus menjadi simbolik kesetiaan dan kecintaan rakyat terhadap negara serta kerajaan yang memerintah ketika ini.

Beliau menjelaskan, semangat patriotisme tidak hanya dizahirkan melalui kibaran bendera, tetapi pelbagai cara dan bentuk boleh dilakukan.

Katanya, sejajar dengan perkembangan semasa, pelbagai wadah boleh digunakan untuk mempamerkan kebersamaan semua rakyat yang pelbagai kaum dalam menzahirkan ketaatan kepada tanah air tanpa membenarkan sebarang campur tangan asing terhadap negara ini.

“Dalam kalangan orang muda atau mahasiswa sekarang, semangat patriotisme itu masih wujud. Cuma tidak sama dengan masyarakat muda zaman 30 atau 40 tahun yang dulu.

“Masyarakat dulu sering dikaitkan dengan perarakan bendera dan menghadiri upacara rasmi kemerdekaan yang memberikan semangat berbeza. Tentu saja penzahiran semangat cinta negara orang dulu tidak sama dengan sekarang,” katanya.

PERSEMBAHAN perbarisan boleh diakses mudah melalui media sosial untuk ditonton.
PERSEMBAHAN perbarisan boleh diakses mudah melalui media sosial untuk ditonton.

Jelas beliau, kewujudan pelbagai interaktif pada masa kini turut mendorong golongan muda lebih dekat dengan media sosial dalam menyatakan sokongan kepada kedaulatan negara.

Katanya, konsep ekspresi golongan muda berbeza selari dengan perbezaan zaman, jika dulu masyarakat berusaha menonjolkan semangat patriotik dengan kibaran jalur gemilang dan berpusu-pusu ke sambutan kemerdekaan.

“Tapi golongan muda kini gemar memanifestasi semangat merdeka itu dalam konsep demokratik yang lebih luas iaitu melahirkan rasa cinta kepada negara dengan benci rasuah, memastikan integriti dalam setiap pentadbiran serta mahukan satu tadbir urus negara yang baik.

“Untuk memanfaatkan semangat merdeka itu sebenarnya ia perlu tanam sikap patriotik dalam pelbagai bentuk iaitu membenci gejala yang boleh menjatuhkan kedaulatan negara seperti rasuah, budaya kerja kurang beretika dan kerja yang tidak bertanggungjawab.

“Membenci rasuah adalah salah satu bentuk memperjuangkan kedaulatan negara bagi memastikan integriti negara terus teguh,” katanya.

SAMBUTAN kemerdekaan semai semangat patriotik.
SAMBUTAN kemerdekaan semai semangat patriotik.

Dr Awang Azman berkata, 31 Ogos bukan hanya untuk berkumpul di padang tetapi menjurus kepada tugas muhasabah dalam kalangan anak muda iaitu apa sumbangan yang boleh mereka berikan pada zaman ini sesuai dengan generasi terkini yang dekat dengan teknologi maklumat.

Katanya, cara lafaz taat setia kepada negara turut berbeza kerana jurang zaman berkenaan.

“Contohnya perlawanan yang membabitkan pasukan negara dalam apa saja peringkat pertandingan, tidak kira siapa dan apa bangsa pemainnya, golongan muda adalah yang paling ramai menyokong dengan meluahkan pelbagai harapan untuk kemenangan negara.

“Jika ramai anak muda yang tidak pergi melihat perbarisan hari kemerdekaan, itu bukan tanda semangat patriotik sudah pudar. Kita perlu melihat kepada perkembangan teknologi sekarang yang lebih pantas.

SEMAI semangat kemerdekaan sejak usia muda .
SEMAI semangat kemerdekaan sejak usia muda .

“Mereka ini boleh melihat secara lintas langsung melalui televisyen, media sosial seperti Facebook atau apa-apa wadah media yang ada kerana medium itu lebih dekat dengan golongan muda.

“Jika dulu, ayah membawa anak ke tempat sambutan kemerdekaan bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara.

“Perlu diketahui, zaman itu bukan semua orang mempunyai televisyen, malah tiada rakaman ulangan dibuat pihak penyiaran seperti sekarang. Sebab itu mereka berbuat demikian,” katanya.

Oleh itu, katanya, jangan terlalu mudah masyarakat khususnya golongan lama menghukum belia tidak cintakan negara atau tiada semangat patriotik.

“Saya lihat semangat yang ditonjol orang muda itu adalah entiti baru, malah suara mereka jelas pengisian.

“Buktinya ramai yang mengundi kerana mereka sedar hak sebagai warganegara yang bakal menentukan nasib dan generasi mereka,” katanya.

PENDIDIKAN salah satu nikmat hasil kemerdekaan.
PENDIDIKAN salah satu nikmat hasil kemerdekaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:16 PM