Penduduk Taman Sutera 2, Seberang Jaya menghias kebun sayur diusahakan mereka dengan jalur gemilang sebagai tanda cintakan negara. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
Penduduk Taman Sutera 2, Seberang Jaya menghias kebun sayur diusahakan mereka dengan jalur gemilang sebagai tanda cintakan negara. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bagi menghilangkan kebosanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk Taman Sutera 2, Seberang Jaya sepakat melakukan aktiviti berkebun.

Penduduk bagaimanapun tidak melakukan aktiviti itu secara serentak sebaliknya pergi ke kebun sayur seluas 1,500 meter persegi itu mengikut jadual tertentu sekaligus bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Azeli Ali berkata, memandangkan tempoh PKP yang terlalu lama penduduk mengambil inisiatif menjadikan tanah terbiar berhampiran kawasan perumahan di sini sebagai kebun sayur.

"Aktiviti ini bermula sejak dua bulan lalu apabila lebih 10 jenis sayur-sayuran ditanam di sini antaranya bendi, ulam-ulaman, sawi, kangkung, kailan, cili padi, roselle dan jagung.

"Selain menyihatkan badan dan dapat mengurangkan rasa kebosanan terperuk dalam rumah, penduduk di sini juga boleh berjimat cermat apabila mereka boleh mengambil hasil tanaman ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Jelasnya, inisitiaf itu disambut baik oleh semua penduduk kawasan berkenaan dan masing-masing mengetahui berhubung pematuhan SOP.

"Penduduk tidak turun sekali gus ke kebun sayur ini tetapi ada jadual tertentu mengikut kelapangan mereka bagi mengelak aktiviti berhimpun berlaku.

"Masing-masing patuh pada SOP untuk mengelak berlaku jangkitan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Azeli berkata, bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64, penduduk turut memasang jalur gemilang dalam kebun sayur berkenaan.

"Hampir 50 bendera pelbagai saiz dihias dalam kebun sayur ini mengikut kesesuaian dan syukur semua penduduk sepakat dalam hal ini.

"Biarpun kita dilanda dengan pandemik Covid-19 namun dengan usaha ini sekurang-kurangnya ia dapat menceriakan hari kemerdekaan negara yang akan disambut Selasa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:47 PM