BERNAMA

Bera: Semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19 hanya akan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baru dilantik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

"Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan (Covid-19) iaitu KKM dan MOSTI selain ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah... agak sukar kalau masih dua kerana mungkin berbeza daripada pandangan dan sebagainya.

"MOSTI pula akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

"Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Program eksesais itu melibatkan hampir 1,900 pegawai dan anggota pelbagai elemen dan latihan berskala besar selama dua minggu yang bermula Selasa lepas, merupakan satu daripada eksesais dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Bridged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

ISMAIL Sabri bersama Affendi dan Zamrose ketika tiba di tapak Excercise Para Predator Siri 1/2021 di pesisir Sungai Pahang Kampung Batu Bor. FOTO Farizul Hariz Awang.
ISMAIL Sabri bersama Affendi dan Zamrose ketika tiba di tapak Excercise Para Predator Siri 1/2021 di pesisir Sungai Pahang Kampung Batu Bor. FOTO Farizul Hariz Awang.

Mengenai perkembangan vaksinasi, Ismail Sabri berkata, beliau sudah memaklumkan KKM melalui Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya kilang terutamanya yang mempunyai ramai pekerja asing, dibenarkan untuk mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) di dalam kilang bagi mengelakkan kejadian kesesakan sebagaimana yang berlaku di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, tempoh hari.

Katanya, kesesakan berkenaan yang turut tular di media sosial menimbulkan kebimbangan berlaku penularan wabak itu kepada individu yang sedang beratur untuk menerima vaksin, memandangkan aspek penjarakan fizikal tidak dipatuhi.

"Kita juga harap kilang-kilang boleh membeli vaksin sendiri kerana ia lebih cepat. Kita telah memaklumkan bahawa mana-mana kilang dengan 80 peratus pekerja telah lengkap dua dos vaksin boleh kembali beroperasi.

"Saya percaya harga vaksin ini tidak semahal jika dibandingkan dengan kerugian yang dialami mereka kalau kilang terus ditutup," katanya.

Selain itu, katanya beliau turut meminta Dr Noor Hisham supaya memperbanyakkan PPV pandu lalu, mengambil kira kaedah berkenaan lebih mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan selain penerima vaksin tidak perlu beratur bersama individu lain.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan pengambilan vaksin selepas ini, Ismail Sabri berkata, ia mungkin diwajibkan jika masih ramai yang enggan menerima vaksin kerana dibimbangi individu yang tidak divaksin boleh menjangkiti orang lain, sedangkan keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan semua rakyat di negara ini.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan nama timbalan perdana menteri dalam senarai Kabinetnya yang diumumkan semalam, Ismail Sabri yang pulang ke kawasan Parlimennya buat kali pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri berkata:

"Pada mula-mula (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin umum (senarai Kabinet beliau) juga tiada….sama sahaja.

"Insya-Allah kalau macam dulu takde, tapi (selepas itu) ada," katanya.

Sebelum memulakan program hari ini, Ismail Sabri turut mengambil kesempatan menziarahi kedua-dua pusara orang tuanya di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh yang juga merupakan tempat lahir beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:09 PM