Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain ketika tiba di tapak Excercise Para Predator Siri 1/2021 di persisir Sungai Pahang Kampung Batu Bor. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain ketika tiba di tapak Excercise Para Predator Siri 1/2021 di persisir Sungai Pahang Kampung Batu Bor. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Roselan Ab Malek


Bera: "Bukan perkara baru tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri (dalam barisan jemaah kabinet)," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga tidak menamakan atau mempunyai timbalan dalam kabinetnya.

"Muhyiddin tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri pada mulanya, (tetapi) Timbalan Perdana Menteri dilantik kemudian.

Saya juga tidak mengumumkannya, semalam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Angkatan Bersenjata Eksesais Para Predator di Kampung Batu Boh, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ketika ditanya adakah seseorang akan dilantik ke jawatan itu, Ismail Sabri memberikan jawapan ringkas dengan mengatakan bahawa beliau tidak pasti.

Terdahulu, Ismail Sabri ditanya mengenai keputusannya tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri ketika mengumumkan barisan kabinetnya, semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, satu kajian sedang dilakukan untuk menawarkan skim pencen pro-rata kepada semua pegawai dan anggota tentera yang bersara awal.

"Kajian komprehensif sedang dilakukan untuk membantu tentera yang bersara awal untuk membolehkan mereka terus menyara keluarga setelah mengakhiri perkhidmatan.

"Kami berharap dapat menawarkan skim yang sesuai untuk mereka yang bersara lebih awal," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, kebajikan bekas pegawai dan anggota ATM diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEVATM) dan mereka tidak menerima pencen jika sebelum cukup tempoh ditetapkan.

"Mungkin setelah kertas kerja selesai, menteri baru (Menteri Pertahanan Kanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein) akan membawa perkara ini untuk dibentangkan di Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 5:58 PM