GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan 41 kes kematian akibat jangkitan Covid-19, hari ini, yang juga kes kematian harian tertinggi pernah direkodkan, setakat ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah terbanyak kematian itu direkodkan di Kota Kinabalu membabitkan 19 kes.

"Sebanyak lima kes lagi dilaporkan di Sandakan, diikuti empat kes di Tuaran, masing-masing tiga kes di Penampang dan Keningau, manakala masing-masing dua kes di Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan serta satu kes di Tenom.

"Kes kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sabah mencatat dua angka hampir setiap hari sejak tiga minggu lalu dengan kebanyakannya melebihi 20 kes sejak lebih seminggu lalu," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah merekodkan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 3,000 kes dengan 3,010 kes, hari ini, berbanding 3,487 kes semalam.

Menurutnya, walaupun ada penurunan sebanyak 477 kes, jumlah kes dicatat masih kekal tinggi.

"Secara keseluruhan, saringan bergejala menyumbang 946 kes atau 31.4 peratus daripada jumlah kes hari ini, manakala saringan kontak rapat menyumbang 1,782 kes atau 59.2 peratus diikuti 37 kes melalui saringan kluster.

"Sebanyak 1,206 kes atau 40 peratus daripada 3,010 kes baharu hari ini adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, diikuti 213 kes (7.1 peratus) lewat antara empat hingga lima hari dan 482 kes (16 peratus) adalah kes yang didaftar lewat melebihi lima hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 10:48 PM