Balqis Jazimah Zahari


Sungai Siput: Sekumpulan pekerja kilang memakai gelang merah jambu bukan berkeliaran di tempat awam sebaliknya sedang dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menjalani saringan ujian Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, hasil siasatan mendapati mereka bukan berkeliaran sebaliknya singgah di kedai berdekatan bagi membeli barang keperluan untuk kegunaan sepanjang tempoh kuarantin.

Menurutnya, pada jam kira-kira 8.30 malam, Khamis lalu, beberapa gambar tular di laman media sosial menunjukkan pekerja kilang memakai gelang pink berkeliaran di tempat awam.

"Siasatan mendapati pekerja kilang berkenaan sudah diarahkan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar untuk hadir ujian saringan Covid-19 di kilang berkenaan pada hari yang sama selepas enam pekerja disahkan positif.

"Setelah selesai ujian saringan Covid-19 pekerja berkenaan dipakaikan gelang pink dan diarahkan untuk pulang ke asrama pekerja," katanya.

Mohd Khaizam berkata, gambar yang tular berkenaan menunjukkan pekerja kilang dalam perjalanan pulang ke asrama dan ada pekerja yang singgah di kedai berdekatan bagi membeli barangan keperluan untuk kegunaan sepanjang tempoh kuarantin.

"Pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput melalui pasukan pemantau pematuhan Covid-19 yang membuat pemantauan di kawasan sekitar dan ke atas semua pekerja yang di kuarantin secara berkala.

"Didapati tidak berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan semua pekerja yang diarahkan kuarantin berada di asrama pekerja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:24 PM