GAMBAR pekerja kilang tular berlegar di luar kediaman di Seksyen 7, Bukit Mahkota selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik dan dalam perjalanan pulang ke rumah. FOTO Ihsan PDRM
GAMBAR pekerja kilang tular berlegar di luar kediaman di Seksyen 7, Bukit Mahkota selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik dan dalam perjalanan pulang ke rumah. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Individu memakai gelang merah jambu disahkan pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik.

Terdahulu, gambar mereka tular di media sosial, pagi ini selepas didapati berlegar-legar di luar kediaman di Seksyen 7, Bukit Mahkota, Bangi, di sini, sehingga menimbulkan keresahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sepasukan anggota Team Task Force dari Balai Polis Bangi tiba di lokasi pada 9 pagi untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, semakan mendapati mereka adalah 18 pekerja warga asing di sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan dan disahkan positif Covid-19.

"Mereka menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik di Seksyen 7, Bukit Mahkota, Bangi dan disahkan positif Covid-19 lalu dipakaikan gelang merah jambu.

"Kesemua pekerja kilang terbabit diarahkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman mereka di Seksyen 7, Bukit Mahkota.

"Tarikh kuarantin bermula semalam sehingga 1 Oktober ini di mana gambar berkenaan tular selepas mereka dipakai gelang ketika berjalan menghala ke kediaman dari klinik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada majikan mereka dan diarah melakukan pemerhatian terhadap pekerja berkenaan.

"Pihak majikan juga akan memantau daripada segi kebajikan pekerja berkenaan semasa kuarantin kendiri dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 4:50 PM