ANTARA anak pokok hiasan yang dirampas. FITI ihsan Maqis
ANTARA anak pokok hiasan yang dirampas. FITI ihsan Maqis
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan membawa masuk 59,600 anak pokok hiasan dari China tanpa permit import di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, semalam.

Jurucakap MAQIS berkata, hasil pemeriksaan oleh Pegawai Penguat Kuasa MAQIS, 4 petang semalam menemukan pelbagai spesies anak pokok tanaman hiasan berkenaan di dalam kontena.

Beliau berkata, anak pokok berkenaan termasuk cactus gymnocalycium, spathiphyllum wallisii, caladium, echeveria pinweel, microsorum punctatum, asparagus racemosus, strobilanthes sinuate dan adenium bernilai RM119,200.

"Kesemua barangan berkenaan dirampas bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan mengikut akta ini dan jika disabitkan, kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000.00 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya menerusi siaran media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:51 AM