RAKAMAN gambar yang dikongsi Ismail Sabri di Facebook. FOTO Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
RAKAMAN gambar yang dikongsi Ismail Sabri di Facebook. FOTO Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di Facebook (FB) pagi tadi, menghargai pengorbanan isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang disifatkan sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang.

"Isteri saya orang yang sentiasa ada di sisi saya sejak berkawan dengan dia daripada saya berumur 19 tahun.

"Saya menyertai politik pada tahun 1986, pada umur 26 tahun dan waktu itu kami baru sahaja mendirikan rumah tangga.

"Nani (Muhaini) adalah seorang yang sangat simple (ringkas) dan sentiasa tak mahu berada di bawah spotlight (perhatian), sebab itu jarang sangat nampak dia.

"Thank you (Terima kasih) Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri (Ismail Sabri). Daripada Sabri tak ada apa-apa sehinggalah ke hari ni. Susah senang bersama," katanya menerusi FB.

Pada hantaran itu, Ismail Sabri turut memuat naik gambar Muhaini sedang membetulkan baju Melayu dipakainya, dipercayai sebelum istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Pelantikan Ismail Sabri dibuat selepas Naib Presiden Umno itu menerima sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen menerusi surat akuan (SD) yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 11:51 AM