PASU turut dilukis mengikut permintaan pelanggan.
PASU turut dilukis mengikut permintaan pelanggan.
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, aktiviti berkebun menjadi trend baharu dalam masyarakat di negara ini.

Banyak masa yang terluang di rumah, memberi peluang kepada mereka melakukan aktiviti ini dengan menanam pelbagai jenis pokok di dalam dan luar rumah.

Di laman sosial, ramai yang berkongsi mengenai aktiviti ini sehingga menjadi tular dan ikutan sehingga hari ini.

Ia secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepada Azmi Taha dan isteri, Syalili Sajat yang mengusahakan perniagaan pasu tempurung kelapa.

Dengan kreativiti yang dimiliki, tempurung kelapa yang biasanya dibuang begitu sahaja, dimanfaatkan sebaik mungkin oleh suami isteri yang tinggal di Kemaman, Terengganu ini untuk menjana pendapatan.

Permintaannya cukup luar biasa sehingga mereka tidak menang tangan untuk menyiap tempahan pelanggan yang diperoleh menerusi Instagram designhoc.

Dalam tempoh sebulan, mereka mampu menjual sehingga 300 pasu tempurung secara dalam talian di seluruh negara.

Azmi berkata, sebelum ini dia dan isterinya menubuhkan syarikat House Of Coconutshell ntuk menghasilkan pelbagai aksesori dan produk hiasan dalaman daripada tempurung sejak 20 tahun lalu.

PASU tempurung mendapat sambutan luar biasa.
PASU tempurung mendapat sambutan luar biasa.

Katanya, bagaimana sejak setahun lalu, mereka mula menghasilkan pasu daripada tempurung kelapa.

"Sejak pandemik Covid-19, saya lihat ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini aktif dengan aktiviti berkebun. Oleh itu, saya nampak peluang di situ untuk menghasilkan pasu daripada tempurung.

"Pelbagai jenis pasu yang dihasilkan termasuk pasu gantung, bertingkat dan sebagainya.

"Alhamdulillah, percubaan kami ini mendapat perhatian dan sambutan sangat menggalakkan dalam kalangan peminat aktiviti berkebun," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, proses untuk menyiapkan pasu tempurung ini bermula daripada membuang sabut kelapa.

BERSAMA isteri mengusahakan perniagaan pasu tempurung.
BERSAMA isteri mengusahakan perniagaan pasu tempurung.

"Kemudian bahagian tengah kelapa ditebuk untuk mengeluarkan air dan isi sehingga tinggal tempurung sahaja. Dengan menggunakan mesin, tempurung ini dilicinkan supaya nampak lebih menarik.

"Proses seterusnya saya akan ukir atau lukis pasu bergantung kepada permintaan pelangggan. Bagaimanapun, ada juga yang minta pasu kosong untuk kelihatan nampak lebih klasik," katanya.

Katanya, setiap hari dia dan isteri mampu menyiapkan sekurang-kurang 20 pasu tempurung.

PASU tempurung turut menjadi aksesori hiasan dalaman rumah.
PASU tempurung turut menjadi aksesori hiasan dalaman rumah.

"Hanya saya dan isteri yang bekerja di sini kerana sukar untuk mencari pekerja yang minat dalam bidang ini.

"Oleh itu, saya minta tempoh seminggu untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang kebanyakkannya dibuat secara dalam talian," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Azmi berharap mampu menghasilkan lebih banyak pasu tempurung untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya dan isteri juga aktif menjadi tenaga pengajar untuk melahirkan pelapis dalam bidang kraf tangan ini.

"Setakat ini sukar untuk bertemu yang betul-betul minat, namun saya akan tetap teruskan. Semoga satu hari nanti ramai yang akan buka mata untuk ceburi bidang ini sebagai kerjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:00 AM