Van jenazah yang diubahsuai Abdul Halim digunakan untuk membawa jenazahnya atas permintaan arwah sebelum ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Van jenazah yang diubahsuai Abdul Halim digunakan untuk membawa jenazahnya atas permintaan arwah sebelum ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: "Walaupun sudah setahun berlalu, namun saya masih ingat pesanan arwah supaya jenazahnya dibawa dengan van yang diubahsuai bersama anaknya ke kubur," kata Muhammad Ridzuan Osman, 34, sukarelawan yang menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma, di sini.

Katanya, Allahyarham Abdul Halim Abdullah, 59, meninggalkan pesanan itu ketika van berkenaan dihantar ke bengkel anak arwah, Mohammad Hafizuddin, 36, untuk diubahsuai.

"Arwah turut membantu anaknya melakukan kerja ubahsuai.

"Ketika itu, Allahyarham sempat memberitahu saya dan anak ketiganya itu yang dia mahu van berkenaan membawa jenazahnya sekiranya dia meninggal dunia," katanya.

Namun, lebih menyedihkan, Muhammad Ridzuan berkata, dia turut memandu van berkenaan untuk membawa jenazah dua beranak terbabit untuk dikebumikan selepas mereka meninggal dunia selang sehari akibat Covid-19.

"Saya dan Mohammad Hafizuddin bersahabat baik malah saya anggap dia seperti abang, manakala bapanya seperti bapa sendiri.

"Bayangkan perasaan saya yang apabila mendapat berita kematian sahabat baik selang sehari selepas bapanya meninggal dunia.

"Walaupun sedih namun saya reda dan tetap menguruskan jenazah mereka sehingga liang lahad dan sekurang-kurangnya dapat juga menunaikan permintaan Allahyarham bapa sahabat saya," katanya.

Dua beranak itu meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Jenazah mereka dikebumi sebelah menyebelah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Berangan Pinang Tunggal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 8:46 PM