ISTERI Allahyarham Arie, Wan Edna Marina Wan Malek (dua kiri) menabur bunga di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.  - FOTO Aswadi Alias
ISTERI Allahyarham Arie, Wan Edna Marina Wan Malek (dua kiri) menabur bunga di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. - FOTO Aswadi Alias
Meor Riduwan Meor Ahmad

"ARWAH pendiam tapi kami kenal dia pemain golf  hebat dan punya masa depan cemerlang dalam sukan ini," kata penerbit, pengarah dan aktor terkenal, Datuk Hans Isaac yang juga jiran kepada pemain golf profesional negara, Allahyarham Muhammad Arie Irawan Ahmad Fauzi.

Menurutnya, arwah dikenalinya baik dengan semua orang, tidak pernah mengganggu sesiapa serta tidak menunjuk-nunjuk apa yang dia ada.

"Saya kenal arwah sejak lahir kerana kami berjiran dan lihat arwah membesar dan menjadi lebih tinggi daripada saya. Kami bangga arwah seorang yang matang dan profesional. Niat arwah memang mahu menjadi pemain golf terbaik," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, petang tadi.

Beliau antara lebih 200 sahabat dan ahli keluarga terdekat arwah yang hadir pada upacara pengebumian jenazah Arie. 

Hans Isaac berkata, beliau mengetahui pemergian arwah pada Ahad lalu dan berasa sedih dan tidak tenteram.

"Saya di Langkawi ketika dapat berita menyedihkan ini. Minda saya kacau dua tiga hari ini. Tapi lega jenazah arwah selamat sampai di tanah air.

"Saya turut bersedih dan simpati kepada keluarga arwah tambahan dia  baru 10 bulan berkahwin.Tapi ini semua  di luar kuasa kita," katanya. 

Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan jam 5.30 petang dan selesai dikebumikan jam 6.45 petang.

Sementara itu kakak ipar arwah, Maria mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan doa ketika mereka menempuhi masa yang sukar ini.

Arie meninggal dunia di bilik hotelnya di Sanya, China pada pagi Ahad lalu.

"Jenazahnya disembahyangkan di rumah kami di TAR Villas selepas solat Asar sebelum dikebumikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 9:26 PM