Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing yang bertarung nyawa selama dua hari selepas dibelasah sekumpulan enam lelaki akibat berselisih faham dengan teman wanitanya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, terdahulu, kejadian berlaku jam 1.35 pagi pada 28 Disember lalu, apabila seorang wanita warga asing berusia 40 tahun membuat laporan polis berkaitan teman lelakinya berusia 28 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika mereka berada di dalam kereta di parkir sebuah pusat hiburan di Kepong.

Menurutnya, siasatan mendapati, ketika wanita terbabit bersama mangsa di parkir belakang pusat hiburan itu, sekumpulan lelaki menarik mangsa keluar dan terus memukulnya sehingga menyebabkan pendarahan di kepala.

"Suspek kemudiannya melarikan diri selepas melihat mangsa cedera.

"Hasil siasatan, motif kejadian ada kaitan dengan teman wanita mangsa berselisih faham dengan suspek ketika berada di dalam pusat hiburan itu menyebabkan mereka mengekori wanita terbabit yang dijemput mangsa untuk pulang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Eng Lai berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke HKL sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.50 pagi, 30 Disember lalu.

"Susulan itu, kami dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat beberapa siri serbuan di lokasi berlainan untuk menahan suspek.

"Hasil serbuan, kami menahan enam lelaki berusia 20 hingga 24 tahun di Johor, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari bermula 1 Januari hingga semalam," katanya.

Beliau berkata, pihak turut merampas 10 telefon bimbit, pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian serta beberapa dokumen berkaitan.

"Semakan mendapati, tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman sehingga 13 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Kata beliau, daripada enam suspek, dua adalah adik-beradik dan berasal dari Johor. Ketika ditahan, mereka sedang menyembunyikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 5:25 PM