FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (​NUTP) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pembukaan sesi persekolahan bersemuka pada 3 Oktober depan, berbanding 1 September yang dicadangkan sebelum ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, perubahan tarikh itu memberi masa lebih panjang kepada pentadbir sekolah membuat persediaan sewajarnya, selain membolehkan lebih ramai guru melengkapkan vaksinasi mereka.

"Saya pasti tidak timbul masalah berikutan pembukaan sekolah secara berperingkat dan dimulakan dengan kehadiran kelas peperiksaan manakala guru dan pentadbir sekolah mempunyai pengalaman menangani pandemik seperti pada tahun lalu.

"Berbekalkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekolah tidak akan dibuka di negeri dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, pindaan pembukaan sekolah itu diharapkan meredakan kebimbangan ibu bapa, selain ia memperlihatkan keputusan mengutamakan keselamatan pelajar.

Aminuddin berkata, tempoh masa sebulan lebih ini turut meyakinkan susulan semakin bertambah bilangan guru divaksinasi dan mungkin pada Oktober nanti, kes harian di negara ini berjaya diturunkan.

"Biarpun sekolah dibuka pada 3 Oktober, takwim persekolahan tidak terjejas kerana sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetap berlangsung pada ketika ini.

"Memandangkan kehadiran nanti hanya pelajar peperiksaan, penularan jangkitan mungkin dapat dikawal kerana tidak ramai pelajar hadir, guru sudah divaksin dan mungkin pentadbir sekolah mendapat vaksin mereka.

"Malah, segala keputusan berkaitan pembukaan sekolah bergantung kepada perkembangan kes harian, kadar vaksinasi selari dengan PPN mengikut negeri masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:33 PM