GAMBAR HIASAN. FOTO ASYRAF HAMZAH
GAMBAR HIASAN. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan kerajaan menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) khas untuk murid dan tidak bersekali dengan PPV umum.

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata, langkah itu bagi mengurangkan risiko murid sekolah daripada dijangkiti wabak Covid-19.

"NUTP merayu agar Kementerian Pelajaran (KPM) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa sekolah dijadikan sebagai PPV mengikut daerah atau zon bagi membolehkan murid mendapat vaksinasi.

"Langkah ini akan lebih memudahkan pengurusan murid mendapatkan vaksinasi masing-masing secara berperingkat dan boleh mengenal pasti murid yang tidak mendapat sebarang vaksinasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap pihak berwajib dapat memastikan guru diberi keutamaan melengkapkan vaksinasi kerana mereka adalah kumpulan barisan hadapan.

Katanya, NUTP turut menyarankan kerajaan memastikan pekerja di sekolah seperti petugas kantin, pembersihan sekolah dan pengawal keselamatan turut mendapat vaksinasi lengkap sebelum sekolah mula dibuka secara berperingkat pada 3 Oktober ini.

Mengenai pembukaan sekolah itu, Wang berharap KPM dapat mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan masyarakat setempat terjamin dan terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN dan bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:31 PM