FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula garis panduan pembukaan sektor ekonomi supaya lebih konsisten dan mencerminkan realiti pengoperasian.

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan Samenta, Datuk Willian Ng berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai pembukaan beberapa sektor ekonomi bagi negeri di Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, bagaimanapun Samenta menyeru kerajaan untuk menerima pakai garis panduan pembukaan semula ekonomi lebih konsisten dan universal serta bukan pendekatan berperingkat-peringkat seperti diumumkan sekarang.

"Kami mencadangkan agar semua sektor ekonomi, termasuk pembuatan, pembinaan dan perdagangan, dibuka semula dengan kapasiti 80 peratus apabila 80 peratus semua pekerja sesebuah perniagaan diberi vaksin sepenuhnya, sementara hanya pelawat atau pelanggan yang sudah divaksin sepenuhnya dibenarkan masuk.

"Ini akan dapat memperkukuhkan kepercayaan terhadap vaksin dan mengelakkan kekeliruan di kalangan pihak penguat kuasa.

"Kami juga berharap supaya tidak membezakan perniagaan essential (perlu) dan non-essential (tidak perlu) bagi mengelak kekeliruan mana-mana pihak dan agar lebih adil kepada semua perniagaan," katanya.

Menurutnya, keputusan pembukaan semula sektor ekonomi haruslah berdasarkan kepada kemampuan setiap perniagaan atau industri untuk melaksanakan garis panduan penjarakan fizikal, keselamatan pekerja dan pelawat, serta status vaksinasi pekerja, pelanggan dan pelawat.

Sebagai contoh katanya, pasar pagi dan tani dibenarkan beroperasi tetapi pameran perdagangan di mana penguatkuasaan biasanya lebih teratur dan diadakan di tempat yang luas, belum dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, contoh lain ialah kebenaran pembukaan semula kedai perabot di Fasa 1 PPN, tetapi kedai menjual permaidani hanya dibenarkan dibuka semula pada Fasa 2 PPN.

"Adakah kedai permaidani lebih berbahaya berbanding kedai perabot dan bagaimana jika di kedai terbabit menjual perabot dan permaidani.

"Selain itu, kami turut menyeru kerajaan segera mengarahkan semua agensi penguat kuasa untuk mengambil pakai pendekatan perundingan atau sistem amaran bertulis di dalam menguatkuasakan prosedu operasi standard (SOP), terutamanya pada minggu pertama garis panduan baru ini digunapakai.

"Ini kerana perniagaan tidak harus didenda serta-merta sekiranya terlepas pandang SOP atau sekiranya pelanggaran terbabit tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, pelanggan atau pengunjung.

"Diharap juga kerajaan menyalurkan semua pengeluaran surat kebenaran beroperasi kepada satu agensi yang ditetapkan dan bukannya mewajibkan perniagaan melalui kementerian masing-masing.

"Ini telah menyebabkan sebilangan perniagaan tidak dapat beroperasi kerana tidak jatuh di bawah mana-mana kementerian atau ditolak oleh semua kementerian," katanya.

Beliau berkata, Samenta juga menggesa semua PKS untuk mematuhi semua SOP dikeluarkan.

"Kita telah diberi kelonggaran yang diminta, jadi kita harus memastikan semua menjalankan perniagaan dengan mengutamakan keselamatan pekerja, pelanggan dan pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:04 PM