ISMAIL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan membuat tiga tuntutan palsu bernilai RM90,000 kepada ANGKASA pada 8 Ogos 2018. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
ISMAIL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan membuat tiga tuntutan palsu bernilai RM90,000 kepada ANGKASA pada 8 Ogos 2018. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BEKAS Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM90,000 pada 2018.

Ismail Hashim, 69, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi tiga invois Syarikat MFAB Enterprise berjumlah RM30,000 setiap satu kepada Pegawai Kewangan Angkasa yang mengandungi butiran palsu bagi pembayaran katering jamuan 6,000 peserta dan 1,200 hamper.

Jamuan dan hamper itu adalah bagi mengadakan kursus Program Memperkasakan Jati Diri Kepimpinan Gerakan Koperasi, sedangkan tiada pembekalan perkhidmatan dilakukan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh dengan niat memperdaya Angkasa pada 8 Ogos 2018 di pejabat Angkasa Petaling Jaya, Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam, Fatin Hayati Abdul Rahman.

Sew Ping dalam pendakwaannya meminta mahkamah menetapkan ikan jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes terbabit adalah kesalahan serius.

Fatin Hayati bagaimanapun, meminta mahkamah memberikan jaminan rendah berikutan tertuduh tidak lagi memegang sebarang jawatan dan terpaksa menyara diri bersama isteri dengan menjual nasi lemak dengan pendapatan mingguan RM40 selain bergantung pada wang pencen RM450 sebulan.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh tidak menerima sebarang wang daripada jumlah tuntutan palsu berkenaan kerana ia adalah projek sumbangan politik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 September hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 2:44 PM