Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) giat menjalankan projek rintis membabitkan pemakaian gelang pengawasan pengesan digital bagi individu menjalani kuarantin di rumah termasuk bagi pengembara yang baru pulang dari luar negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, projek rintis itu dilaksanakan di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley melalui penyumberluaran dengan perolehan sebanyak 30,000 unit alat peranti akan dilaksanakan.

Menurutnya, sehingga kini projek rintis ini membabitkan 1,000 unit peranti yang digunakan terhadap pengembara dari luar negara yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah.

"Pengesan digital ini untuk bantu KKM memantau pergerakan individu dari luar negara, kontak rapat atau individu yang mempunyai gejala sementara atau pesakit kategori satu dan dua.

"Pelaksanaan sistem kawalan kualiti ini membolehkan individu dapat dipantau secara berkesan dengan penguatkuasaan perlanggaran akan dijalankan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Chee Kheong, gambar fail. FOTO NSTP
DR Chee Kheong, gambar fail. FOTO NSTP

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, KKM ada menerima laporan daripada netizen berhubung satu hantaran daripada seorang yang hadir dalam himpunan di Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

"Bagaimanapun KKM tidak dapat mengesahkan kesahihan berita itu dan siasatan masih berjalan.

"Setakat ini belum ada laporan kluster dikaitkan dengan demonstrasi terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:26 PM