Amir Abd Hamid

Kajang: Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan hari ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara secara dinamik dan berterusan, seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat di peringkat global.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, menerusi pembentukan generasi yang fasih digital serta penekanan aspek karamah insaniah, murid berupaya menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

Beliau berkata, murid yang fasih digital itu seterusnya dapat menghasil dan mencipta inovasi, menganalisis data secara saintifik, menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dan bekerjasama dengan berkesan.

Namun begitu, katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari masih terdapat jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

"Bagi mengurangkan jurang akses sumber pembelajaran murid terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, KPM memperkasakan sebanyak 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan (COE) bagi inisiatif pendidikan digital.

"Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan di COE ialah penghasilan video PdP, aktiviti robotik, pengaturcaraan dan realiti maya (virtual reality - VR).

"Semua pusat itu dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital (digital maker hub -DMH) yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital, di sini, hari ini.

FADHLINA bergambar bersama pelajar selepas menyampaikan tablet kepada pelajar ketika Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (lima kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
FADHLINA bergambar bersama pelajar selepas menyampaikan tablet kepada pelajar ketika Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (lima kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Menurutnya, KPM juga sudah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Fasa 1 bagi tujuan PdP yang membabitkan 3,910 sekolah.

Katanya, ia meliputi 75,354 unit komputer riba, 3,804 unit pencetak, 3,800 unit projektor dan 3,228 unit charging cart untuk keperluan PdP di makmal komputer sekolah termasuk bagi menggantikan peralatan ICT usang.

"Peralatan ICT ini sudah diedarkan ke sekolah terbabit mulai Mac 2022 dan siap sepenuhnya pada Disember 2022.

"Inisiatif ini diteruskan dengan pembekalan Fasa 2 yang mana perkakasan sudah siap pembekalan dan pemasangan pada Julai 2023.

"Ia membabitkan 3,455 sekolah meliputi 68,056 unit komputer riba, 3,511 unit pencetak, 3,506 unit projektor dan 2,834 unit charging cart," katanya.

Fadhlina berkata, pembekalan Fasa 3 diteruskan meliputi 3,885 sekolah membabitkan 69,604 komputer riba, 3,390 pencetak, 3,779 projektor dan 3,293 charging cart yang dijangka siap awal tahun depan.

Selain itu, katanya, semua sekolah KPM sudah dilengkapi dengan rangkaian jaringan Internet.

"KPM sudah menyediakan capaian jalur lebar Internet dengan kelajuan 30Mbps hingga 300Mbps untuk 10,233 sekolah di bawah KPM.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,220 sekolah disediakan dengan talian gentian optik, 4,901 lokasi disediakan talian jalur lebar tanpa wayar 4G dan 505 lokasi disediakan dengan talian satelit.

"KPM juga sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 institusi pendidikan terpilih yang membabitkan 550 bilik darjah. "Pelaksanaan rintis kelas hibrid ini akan mengupayakan PdP secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 7:13 PM