GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah RM941.38 juta elaun khas barisan hadapan sudah disalurkan setakat 30 Julai lalu.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu berdasarkan 2,580,506 tuntutan daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan serta pembendungan wabak covid-19.

"Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-65 di sini, tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata RM4.37 juta disalurkan kepada 535 penerima menerusi Inisiatif Pemulihan CENDANA sehingga 30 Julai.

Bagi inisiatif itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta yang dijangka memanfaatkan 3,000 penerima daripada kalangan seniman dan organisasi dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, 137,659 pekerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan bagi tempoh sama.

Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:31 PM