Perkeso.
Perkeso.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 107,000 individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 menerima bantuan Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM366.37 juta.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 14 Mac 2021 pula, Perkeso sudah membantu lebih 18,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM85.96 juta.

"Jumlah ini adalah termasuk penambahbaikan Elaun Mencari Pekerjaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021," katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-46 menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, bagi Elaun Khas Barisan Hadapan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), sebanyak RM565.4 juta sudah disalurkan untuk 1.65 juta tuntutan kakitangan perubatan seperti doktor dan jururawat yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19, setakat 12 Mac lalu.

Katanya, elaun khas itu juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) setakat 15 Jan lalu, pengambilan seramai 3,591 petugas kesihatan kontrak sudah diluluskan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh sama, seramai 2,586 petugas kesihatan yang meliputi skim perkhidmatan Pegawai Sains, Juru X-ray Diagnostik, Juruteknologi Makmal Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat selesai dilantik.

Baki 1,005 petugas kesihatan kontrak masih dalam proses saringan dan dijangka selesai pada hujung bulan ini, katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan turut memaklumkan seramai 137,075 peserta program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran diluluskan setakat 12 Mac lalu.

Katanya, bBagi inisiatif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana) untuk industri kreatif pula, sebanyak RM2.16 juta disalurkan kepada 393 penerima dalam kalangan seniman dan organisasi yang aktif dalam sektor seni dan budaya Malaysia setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:57 PM