Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Agama Islam menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Agama Islam menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini membabitkan kos kira-kira RM1,000 akan ditanggung badan khairat kematian kariah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, setiap kariah hanya perlu membayar yuran khairat kematian secara bulanan atau tahunan.

"Kos pengurusan jenazah Covid-19 sekarang adalah berbeza-beza, namun saya dimaklumkan banyak yang diurus badan khairat kematian.

"Mereka akan urus segala-galanya iaitu membabitkan kos pengambilan jenazah di bahagian forensik hospital sehinggalah selesai pengebumian.

"Di Kedah tidak timbul isu kos pengebumian terlalu mahal berikutan yuran khairat kematian sudah dikutip lebih awal," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Najmi berkata, terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) membantu untuk menguruskan pengebumian jenazah secara percuma.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat meringankan beban kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan kes kematian akibat Covid-19 semakin meningkat di Kedah.

"Di Kedah sekarang ada banyak NGO yang membantu uruskan pengebunian jenazah secara percuma, badan khairat kematian selalunya akan membantu menggali kubur atau waris perlu membayar kos menggali dan mengambus kubur menggunakan jengkaut.

"Sekiranya berlaku kematian yang banyak di kariah terbabit, mereka selalunya menggunakan khidmat jengkaut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:39 PM