Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keseronokan pekerja kilang elektronik menghadiri parti liar sambil menghisap dadah di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, terhalang apabila diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sepasukan polis dari

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan serbuan dan pemeriksaan di kediaman terbabit jam 3 pagi.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, seramai 71 orang terdiri empat lelaki, 41 lelaki warganegara Indonesia dan 26 wanita warganegara Indonesia berusia 18 hingga 30 tahun ditahan.

"Setelah ujian saringan awal dijalankan oleh pihak polis, seramai 23 orang didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja dan ketamin.

"Hasil siasatan mendapati pengunjung parti liar terbabit adalah pekerja sebuah kilang elektronik di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan akan dimohon reman hari ini mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020.

"Polis memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti parti liar di kawasan sekitar daerah Dang Wangi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 10:03 AM