ORANG ramai beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk in di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO Eizairi Shamsudin.
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk in di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO Eizairi Shamsudin.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan menjangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus keseluruhan penduduk mendapat dos lengkap suntikan vaksin Covid-19, menjelang hujung Oktober.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

"Saya diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi tadi. Alhamdulillah, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini.

"Menjelang 31 Ogos, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka menerima dos lengkap suntikan vaksin.

"Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan data terkini yang tersedia sama ada dari negara ini atau negara luar, jumlah kes dalam kategori empat dan lima menurun apabila kadar vaksinasi meningkat.

Begitu juga, katanya, dengan kadar kematian akan menurun dengan mendadak.

"Insya-Allah, kita doakan agar negara dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:18 PM