Omar Ahmad


Johor Bahru: "Noor Qaira Danisah pernah mengalami sawan dan kekejangan lebih 50 kali sehari, malah doktor juga mengesahkan dia menghidap sawan tahap kritikal," kata Noor Suraya Saidin, 36.

Menurutnya, anaknya, Noor Qaira Danisah Mohd Idzwan, 10, adalah orang kurang upaya terlantar sejak dilahirkan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada sumber makanan menerusi susu khas yang perlu dimasukkan melalui tiub di perutnya tiga jam sekali.

Suri rumah yang juga ibu kepada empat anak itu semakin buntu memikirkan keadaan anak bongsunya apabila suami, Mohd Idzwan Jamari, 39, yang bekerja sebagai penjual kenderaan berat dicutikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan, Jun lalu.

"Selain anak bongsu, anak ketiga, Mohamad Daiyen Danie, 12, turut mempunyai masalah injap jantung yang membuatnya tidak boleh bergerak aktif biarpun sudah menjalani pembedahan pada 2018.

"Saya buntu memikirkan keperluan Noor Qaira Danisah yang perlu menukar saluran tiub makanan yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000. Tiub itu perlu diganti dua tahun sekali.

"Sejak suami dicutikan tiga bulan lalu, kami hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan Baitulmal RM300 untuk keperluan sekeluarga termasuk makan minum, bayaran bil utiliti, kos minyak penghantaran dua anak mendapat rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Uda Utama, di sini, hari ini.

Noor Suraya berkata, ada kalanya dia terpaksa meminta pertolongan jiran dan rakan untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan.

Katanya, sebelum PKP 3.0, dia ada membuat perniagaan dari rumah dengan mengambil tempahan nasi campur bagi menambah pendapatan keluarga, namun tiada permintaan selepas PKP dikuatkuasakan.

NOOR Suraya (kanan) melihat anak sulungnya, Noor Afiqah Alyaa (kiri) memberi susu khas kepada Noor Qaira Danisah menerusi tiub khas. FOTO Omar Ahmad
NOOR Suraya (kanan) melihat anak sulungnya, Noor Afiqah Alyaa (kiri) memberi susu khas kepada Noor Qaira Danisah menerusi tiub khas. FOTO Omar Ahmad

"Dengan keadaan sekarang, kami berdua tiada pekerjaan untuk membesarkan empat anak berusia 10 hingga 15 tahun. Wang bantuan RM800 tidak mencukupi. Saya sebagai ibu cuba bertahan dalam tempoh tiga bulan ini tetapi terasa berat bebanan kami.

"Kami sekeluarga pernah makan mi segera bagi mengalas perut. Susu khas Noor Qaira Danisah juga saya terpaksa catu dengan mengurangkan sukatan supaya bekalan susu dapat bertahan sehingga wang bantuan bulanan berikutnya masuk.

"Anak istimewa ini sudah berusia 10 tahun, susu dan lampin pakai buang tidak akan putus selagi hayat dia ada.

"Noor Qaira Danisah memerlukan satu tin susu khas sehari. Susu itu hanya boleh dibeli di farmasi dengan harga RM47 bagi 400 gram. Pemakanan dia memang bergantung sepenuhnya kepada susu khas itu dan saya takut bekalan susu dia terputus.

"Dengan keadaan anak ini yang sudah besar, saya turut mengalami kesukaran ketika memandikannya.

"Saya perlukan kerusi mandi khas supaya keselamatannya terjaga ketika di bilik air," katanya yang mendapat bantuan barangan dari Pasaraya Econsave Cash and Carry yang menyumbang keperluan lampin pakai buang dan barangan dapur untuk keperluannnya sekeluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Noor Suraya, 0100241000067318.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:53 PM