FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sisa kebakaran di tiga lokasi berbeza di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang terbakar pada Rabu lalu dihantar ke makmal untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya akan menjalankan ujian bagi mengenal pasti unsur yang menyebabkan kebakaran.

"Keputusan ujian akan diketahui dalam tempoh dua minggu dari tarikh ujian dilakukan.

"Setakat ini kemungkinan terdapat unsur khianat kerana tiga kejadian berlaku dalam masa yang terdekat,"katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, tiga lokasi iaitu Kolej Aminuddin Baki, Kolej Ungku Omar dan bangunan Pusanika UKM dilaporkan berlaku kebakaran kecil.

Kebakaran pertama berlaku di Kolej Aminudin Baki UKM membabitkan tilam dan katil di dalam bilik asrama penuntut sebelum ia dipadamkan oleh mereka.

Manakala, insiden kedua membabitkan kebakaran di dewan makan di bangunan Pusanika UKM pada 10.51 malam dan api dipadamkan oleh bomba.

Kebakaran ketiga pula membabitkan tilam dan katil di bilik Kolej Ungku Omar pada kira-kira 11.38 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:58 PM