FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Polis menerima laporan dibuat seorang jururawat yang bertugas di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sini, yang mendakwa difitnah oleh seorang pengguna Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan Abdull Razak Osman berkata, jururawat itu mendakwa

gambarnya dimuat naik seorang pengguna FB bersama kenyataan 'jururawat tersalah memberi vaksin kepada ibunya', semalam.

Katanya, wanita itu menafikan terbabit dengan kejadian berkenaan dan membuat laporan sejurus menyedari gambarnya tular.

"Dia memberitahu menerima pesanan WhatsApp daripada rakan sekerja mengenai gambarnya sedang bertugas dan digunakan oleh seorang individu dalam kes tersalah beri suntikan vaksin.

"Kejadian itu didakwa berlaku sebelum jururawat itu masuk bertugas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, mangsa kesal dengan apa yang berlaku dan hal itu telah menyebabkan imej serta kredibilitinya sebagai jururawat terjejas selain ia turut mengganggu emosinya ketika bertugas.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sehingga kini tiada laporan yang diterima mengenai kesilapan suntikan vaksin seperti yang ditularkan oleh pemilik FB itu," katanya.

Semalam, seorang pengguna FB memuat naik hantaran bergambar yang mendakwa ibunya menerima suntikan vaksin keluaran Sinovac pada Khamis lalu, sedangkan dos pertama yang diterima sebelum ini adalah vaksin keluaran Pfizer.

Difahamkan, hantaran itu sudah dipadamkan dan dia mendakwa tersilap memuat naik gambar jururawat bersama ibu saudaranya dan bukan ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 5:44 PM