Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). FOTO BERNAMA
Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mahu kerajaan negeri Selangor proaktif membantu rakyat negeri itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Pemuda PN Selangor, Asyraf Halim berkata, kerajaan negeri harus mencontohi kerajaan Pusat dalam pemberian bantuan seperti program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Selangor hari ini kekal sebagai penyumbang kes Covid-19 tertinggi kesan ujian saringan di lapangan terutama bagi kawasan kluster yang sudah dikenal pasti.

"Melihat senario ini, Menteri Besar Selangor haruslah berbesar hati dan proaktif dalam membantu rakyat negeri Selangor terkesan pandemik dan perintah berkurung yang terpaksa dijalankan bagi membendung penularan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, rakyat amat memerlukan semua jenis bantuan dan perhatian sewajarnya.

"Kerajaan negeri harus mencontohi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bantuan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa mengira parti agar mereka dapat membantu rakyat kawasan mereka.

"Tidak wajar sebagai ahli politik hanya menuding jari dan hanya melihat salah kerajaan Pusat," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan mengumumkan program Bakul Prihatin Negara berkenaan.

Muhyiddin hari ini melancarkan program Bakul Prihatin Negara, yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta.

Program terbabit adalah komitmen kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 9:25 PM