ZAHIDI. FOTO Arkib NSTP
ZAHIDI. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Tindakan boleh diambil, tetapi kita bagi nasihat dahulu," kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung tindakan segelintir netizen yang memuat naik hantaran mengelirukan di media sosial berhubung kedudukan kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai mesej yang tular di media sosial mengenai hantaran menyentuh titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta pendirian kerajaan mengenai situasi terkini politik dalam negara.

Menurutnya, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut akta sedia ada, namun pihaknya mengambil pendekatan untuk memberi nasihat terlebih dulu.

"Isu yang ditularkan itu macam-macam. Ada yang kata derhakalah dan macam-macam lagi.

"Sebelum ini negara kita pernah ada kes membabitkan pemimpin dan istana, ada juga yang daripada pembangkang sekarang pun.

"Jadi mengapa hendak timbulkan isu seperti ini, sedangkan kita ada fokus, iaitu melawan Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zahidi berkata, sewajarnya rakyat di pelbagai peringkat bersama-sama kerajaan dalam memerangi wabak ini dan tidak mengambil kesempatan berkongsi mesej yang mengelirukan di media sosial.

Katanya, isu seperti itu termasuk juga kerajaan gagal, tidak timbul kerana semua pihak berusaha melakukan yang terbaik bagi menangani pandemik maut ini.

"Kita kena perbetulkan persepsi yang salah. Kerajaan sudah melakukan yang terbaik dan masih lagi berusaha, jadi mana datangnya istilah gagal.

"Sedangkan ada negeri yang boleh dikatakan mencatatkan kes tertinggi juga, jadi siapa yang gagal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:44 PM