GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Netizen kita melampau. Itu kesimpulan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin susulan komen jelek berhubung isu pendedahan jenaka rogol membabitkan seorang murid baru-baru ini.

Menurutnya, komen tanpa sempadan, penggunaan kata-kata yang tidak sepatutnya seolah-olah sudah menjadi budaya baharu di negara ini sehingga ia dilakukan secara berleluasa.

Untuk itu katanya, pihaknya akan menggunakan peruntukan sedia ada untuk membendung sikap sedemikian demi manfaat bersama.

"Di Malaysia ini memang ada undang-undang berkaitan, tetapi selalunya tidak ada tindakan.

"Kalau boleh kita mahu bersikap terbuka, tetapi lama kelamaan mereka ini semakin melampau.

"Kutuk pemimpin, istana, raja mempermainkan soal sakit dan mati, ini tidak sepatutnya berlaku.

"Berbanding di luar negeri yang lebih tegas dan ketat, kita tidak mahu sikap terbuka kerajaan diambil kesempatan oleh netizen. Sampai masanya kita akan bertindak berdasarkan laporan yang diterima," katanya kepada Harian Metro.

Zahidi berkata, mengambil contoh di Thailand yang terkenal dengan ketegasan dalam isu mengkritik pemimpin dan raja, kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk keoada perbuatan memalukan orang lain sama ada di hantaran media sosial mahu pun komen.

Katanya, tindakan menjatuhkan maruah seseorang melalui apa cara sekali pun tidak boleh diterima dan dibiarkan sama sekali.

Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan memuat naik video mendedahkan seorang guru di sekolah yang didakwa membuat jenaka rogol ketika sesi pembelajaran.

Dikongsikan di aplikasi Tik Tok, ia mengundang kemarahan orang ramai berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, ramai juga yang mengutuk pelajar berkenaan dengan menggunakan perkataan tidak sesuai menerusi ruangan komen.

Sementara itu pakar kriminologi bebas Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tindakan penguatkuasaan berterusan adalah perlu bagi memastikan tiada dorongan jenayah berlaku.

Katanya, pada pandangan biasa, sesuatu komen itu dianggap tidak memberi kesan, namun ia akan berlaku sebaliknya jika seseorang itu memendam perasaan akibat kutukan diterima.

"Apabila berlaku tekanan perasaan yang hebat, ia akan mendorong seseorang itu mengambil tindakan sendiri seperti mencederakan sama ada diri sendiri atau orang lain.

"Di sinilah sesuatu tindakan jenayah akan mengambil tempat. Jadi saya nasihatkan kepada netizen, setiap komen mengenai apa isu sekalipun, biarlah berpada-pada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 4:55 PM