FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu susulan langkah penutupan ekonomi.

Bukan hanya Malaysia yang terkesan, banyak negara lain seluruh dunia juga mengalami kemelesetan ekonomi seperti Singapura yang menjunam 5.4 peratus, United Kingdom (-9.8 peratus), Jepun (- 4.7 peratus) dan Filipina negatif 9.6 peratus.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selepas memahami kesan wabak Covid-19, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar.

Katanya, ia membolehkan aktiviti ekonomi terpilih untuk terus berjalan, sekali gus memberi kelegaan untuk rakyat keluar mencari rezeki di samping mengurangkan tekanan ke atas beban kewangan kerajaan supaya dapat terus memberi bantuan.

"Dengan pelaksanaan PKP 3.0 baru-baru ini, negara mengalami kerugian KDNK sebanyak kira-kira RM1.1 bilion sehari, berbanding dengan kerugian sebanyak kira-kira RM2.4 bilion sehari sewaktu PKP penuh pada Mac tahun lalu.

"Oleh itu, KDNK pada tahun 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding anggaran awal sebelum ini, iaitu antara 6 hingga 7.5 peratus.

"Anggaran rasmi akan diumumkan pada Ogos bersama laporan suku kedua KDNK nanti, di mana kesan PKP dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke atas ekonomi pada separuh pertama tahun ini akan dapat dilihat sepenuhnya," katanya ketika Sidang Mesyuarat Khas Parlimen di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:53 PM