TENGKU Zafrul. FOTO BERNAMA
TENGKU Zafrul. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus bagi 2021 meskipun proklamasi darurat dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Masih awal lagi dan kita di suku pertama tahun ini. Jadi kita kekalkan (buat masa sekarang), tetapi unjuran kita berisiko memandangkan (apa yang berlaku) semasa PKP 2.0.

"Ia (KDNK) dijangkakan pada paras lebih rendah dalam julat unjuran kami," katanya ketika temu bual Bloomberg, semalam.

Tengku Zafrul berkata, dasar stabil dan kekal penting dalam membendung pandemik Covid-19 dan membolehkan negara berada di landasan pemulihan ekonomi.

Katanya, kerajaan komited menyokong perniagaan dan juga rakyat dan bersedia menggunakan lebih banyak sumber bagi memerangi virus yang meragut nyawa ini sekiranya diperlukan.

"Impak (kerugian ke atas ekonomi) sehari pada PKP sebelum ini kira-kira RM2.4 bilion, tetapi kali ini (PKP 2.0) ia sekitar RM700 juta sehari.

"Selain itu, kita juga mula melaksanakan pelbagai pakej rangsangan yang berterusan dan Belanjawan 2021 diluluskan baru-baru ini serta pakej bantuan terkini (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia atau Permai) membantu mengurangkan impak ke atas ekonomi," katanya.

Apabila ditanya kemungkinan langkah meningkatkan had hutang negara, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tiada rancangan menaikkannya kerana buat masa ini situasinya masih terlalu awal untuk membuat sebarang semakan semula.

"Jika kita melihat apabila tahap hutang hari ini, kita terus mengunjurkan paras hutang kita berada di bawah had hutang 60 peratus yang kita tetapkan sebelum ini.

"Dari segi pakej rangsangan Permai yang kerajaan umumkan tahun ini, suntikan fiskal adalah RM15 bilion dengan kebanyakan wang adalah daripada peruntukan di bawah Belanjawan 2021," jelasnya.

Mengenai perkembangan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tengku Zafrul berkata, Malaysia mendapat kembali RM15.4 bilion aset tunai dan fizikal yang ada kaitan dengan syarikat pembangunan strategik itu.

Beliau berkata, Malaysia komited mendapatkan kembali baki aset lebih daripada apa dicapai hari ini tanpa mengambil kira situasi Covid-19.

"Kerajaan Malaysia terus komited mengambil pendekatan bertanggungjawab dan pragmatik dalam proses pemulangan itu yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat," katanya sambil menambah pembayaran hutang 1MDB sudah menjadi sebahagian daripada unjuran kerajaan di bawah Belanjawan 2021.

Mengulas mengenai pelantikan rasmi Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), Tengku Zafrul melahirkan harapan agar ketegangan perdagangan antara AS dan China akan mereda di bawah pentadbiran baharu.

"Kami berharap perdagangan global boleh berfungsi dengan lebih teratur di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Dunia," katanya.

AS adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia menyumbang 10 peratus daripada jumlah perdagangan dalam tiga suku pertama tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:10 AM