Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM1,600 empat tahun lalu.

Tertuduh Mohd Nurhuraimee Yahaya, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Mohd Nurhuraimee yang ketika itu bertugas di Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Jun 2018 bertempat Malayan Banking Berhad Cawangan Central Square di Sungai Petani.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dituduh menerima RM300 untuk diri sendiri dengan tiada balasan melalui akaun Maybank Siti Nasyitah Johar daripada Ismail Husin yang tertuduh mengetahui lelaki ini mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya sebagai Pembantu Penguatkuasa, pada 20 Januari 2018.

Pertuduhan kedua, ketiga, keempat dan kelima pula, Mohd Nurhuraimee didakwa melakukan perbuatan sama yang masing-masing menerima jumlah wang sebanyak RM400, RM300, RM300 dan RM300 melalui akaun Siti Nasyitah daripada lelaki yang sama antara Februari, Mei dan Jun 2018.

Mohd Nurhuraimee dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohamed Firdaus Mohamed Farouk merayu supaya ikat jamin diberi pada kadar rendah atas alasan tertuduh berkemungkinan digantung kerja dan tidak mempunyai gaji.

"Tertuduh juga mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak dan hidup mereka akan susah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Murtazadi membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut meminta alamat emel tertuduh dan penjamin untuk memudahkan urusan mahkamah serta menetapkan 24 Ogos depan untuk penyerahan dokumen berkaitan.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin.

Mohd Nurhuraimee ketika keluar dari kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar selepas membayar wang jaminan dengan seorang penjamin. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mohd Nurhuraimee ketika keluar dari kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar selepas membayar wang jaminan dengan seorang penjamin. Foto Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 12:53 PM