TUAN Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam melihat garaj yang dijadikan tempat latihan atlet angkat berat Filipina Hidilyn Diaz. FOTO NURALIAWATI SABRI
TUAN Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam melihat garaj yang dijadikan tempat latihan atlet angkat berat Filipina Hidilyn Diaz. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Jasin: Garaj rumah kampung yang dulunya terbiar dan dipenuhi semak samun kini menjadi tumpuan dunia selepas beberapa atlet antarabangsa mula 'mengintai' ruang untuk menjalani latihan, di situ.

Garaj rumah kampung yang terletak di Kampung Kesang Tua di sini, menjadi sebutan ramai apabila atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendedahkan lokasi 'rahsia' dia mempersiapkan diri sebelum terbang ke Tokyo, Jepun.

Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah, berkata, selepas berita garaj rumah ibu mertuanya disebut Hidilyn sejurus memenangi pingat emas, dia ada menerima panggilan daripada atlet luar untuk datang berlatih di tempat sama atlet Filipina itu menjalani sesi latihan.

"Malam tadi (kelmarin) dua kenalan yang juga atlet serta jurulatih dari Austria dan Finland menyatakan hasrat mereka mahu ke sini apabila musim sejuk nanti.

"Memang tidak sangka tetapi mereka ini saya kenali selepas terbabit dalam kejohanan di luar negara sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam tadi.

Ahmad Janius yang juga keluarga angkat kepada pemenang pingat emas sukan angkat berat kategori 55 kilogram itu berkata, dia turut menerima panggilan daripada jurulatih Kedah yang menyatakan hasrat untuk datang dan melihat kaedah serta teknik digunakan.

"Jurulatih daripada Kedah ada menghubungi untuk datang ke sini dan belajar program diamalkan sehingga Hidilyn berjaya merangkul pingat emas.

"Selain itu, ada juga ibu bapa yang menghubungi saya dan mahu menghantar anak mereka berlatih di sini. Namun saya terpaksa tangguhkan dahulu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurutnya, walaupun dia mempunyai pengalaman dalam sukan itu namun dia memerlukan kerjasama beberapa pihak berkaitan.

"Apabila dihubungi banyak pihak perasaan tidak percaya pun ada tetapi saya tidak dapat lakukan seorang diri dan perlu ada kerjasama daripada semua pihak.

"Keadaan ini membolehkan kita menjadi pemangkin untuk membangunkan fasiliti sukan angkat berat yang lengkap selain dapat melahirkan seorang atlet tempatan seperti Hidilyn yang berjaya di olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:21 PM