NORIDAH menunjukkan keadaan mata Nur Dini Umairah. FOTO Mary Victoria Dass
NORIDAH menunjukkan keadaan mata Nur Dini Umairah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Demi memberi penjagaan kepada Nur Dini Umairah keadaan seperti seorang bayi , saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja hingga kehilangan pendapatan tetap," kata ibu tunggal, Noridah Bachok, 32, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di sini, hari ini.

Noridah berkata, anak tunggalnya, Nur Dini Umairah yang dilahirkan pra matang mengalami beberapa kecacatan termasuk pekak, bisu, kecacatan mental dan masalah injap jantung.

Menurutnya, ketika lima bulan Nur Dini Umairah pernah menjalani pembedahan injap jantung bagi mengatasi komplikasi dialaminya.

"Sebelum ini ibu saya pernah memberi penjagaan kepada Nur Dini Umairah ketika saya keluar bekerja di sebuah kafe sebagai tukang masak dan ketika itu anak saya agak sihat dan masih boleh bersekolah di Pusat Dalam Komuniti (PDK).

"Saya tidak sangka akan menerima ujian lebih berat daripada Allah apabila daya penglihatannya pula bermasalah iaitu mata kiri Nur Dini Umairah disahkan buta sejak awal Jun lalu manakala mata kanannya juga didapati bermasalah iaitu kerosakan kanta dan retina mengecut.

"Doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) merujuk Nur Dini Umairah ke sebuah pusat perubatan swasta di Bangsar, Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan retina dan penggantian kanta mata pada 1 Julai lalu," katanya.

Noridah berkata, dia bersyukur kerana kos pembedahan sejumlah RM16,000 ditanggung oleh doktor berhati murni yang melakukan pembedahan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun kesembuhan mata kanannya difahamkan bergantung kepada tahap penjagaan dan faktor kesihatannya.

"Setiap hari saya perlu meletakkan tiga jenis ubat titis secara bergilir-gilir di bahagian matanya manakala seminggu sekali kami ke HSA kerana doktor mahu memeriksa matanya.

"Saya tiada pilihan melainkan berhenti kerja pada pertengahan Jun kerana saya juga tidak sanggup membebani ibu untuk menjaga Nur Dini Umairah kerana beliau sudah dimamah usia.

"Sejak kehilangan pendapatan kira-kira RM2,000 saya memang berdepan kesulitan untuk membeli lampin pakai buang, susu dan keperluan keluarga hingga terpaksa bergantung kepada sumbangan ahli keluarga," katanya.

Noridah yang sudah berpisah dengan suami 10 tahun lalu berkata, dia juga menanggung bayaran sewa rumah RM250, bil utiliti RM100 dan perbelanjaan dapur RM300.

"Buat masa ini saya hanya mampu membantu kakak berniaga makan tengah hari bagi mencari rezeki namun pendapatan diperoleh tidak tetap.

"Saya masih belum memohon bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika menerima kunjungan daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam di sini, hari ini.

Mas Imran berkata, pihaknya menyumbangkan sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000.

"Diharap Nur Dini Umairah diberikan kesembuhan dan keluarga berkenaan tabah menghadapi dugaan Allah," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubung Noridah di talian 011-2325 4184 atau menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun 15106700126291 (RHB Bank).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:12 PM