PENGGUNAAN kanta lekap ikut kesesuaian individu.
PENGGUNAAN kanta lekap ikut kesesuaian individu.
Hafiz Ithnin


PENGGUNAAN kanta lekap bagi menggantikan fungsi cermin mata yang begitu sinonim dengan mereka berdepan dengan masalah rabun bukan perkara biasa. Malah, ada yang berpendapat ia lebih selesa dan lebih mudah.

Tidak kurang juga berpendapat, penggunaan kanta lekap mampu membantu mereka yang rabun dipulihkan dengan cepat. Ada juga yang berpendapat sebaliknya.

Menurut Pensyarah Kanan, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Mata, Jabatan Oftalmologi Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Adil Hussein, rabun secara amnya tidak ‘dipulihkan’ dengan penggunaan kanta lekap atau cermin mata.

Beliau berkata, ia hanya membantu agar penglihatan menjadi jelas memandangkan daya penglihatan akan sentiasa berubah dengan umur individu berkenaan.

“Tanggapan bahawa penggunaan kanta lekap lebih baik dan mudah berbanding cermin mata adalah salah memandangkan semua yang mengalami masalah rabun sesuai untuk menggunakan kanta lekap.

“Ada keadaan tertentu pesakit tidak boleh menggunakan kanta lekap sebagai kaedah rawatan rabun. Sekiranya ingin menggunakan kanta lekap sila berjumpa dengan pakar mata dan pegawai optometri yang bertauliah untuk pemeriksaan mata dan nasihat tentang jenis kanta lekap dan cara penggunaan yang betul,” katanya.

Tambahnya, penggunaan kanta lekap tanpa nasihat pakar mendedahkan mata anda kepada kecederaan dan jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan buta kekal.

Katanya, rabun adalah satu gangguan penglihatan yang amat kerap berlaku bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Gangguan penglihatan ini boleh dirawat dan peluang untuk pulih adalah amat baik.

DAYA penglihatan merosot mengikut peredaran usia. FOTO Adzlan Sidek
DAYA penglihatan merosot mengikut peredaran usia. FOTO Adzlan Sidek

“Kegagalan menerima rawatan awal, seawal usia lima ke sembilan tahun menyebabkan gangguan fungsi sistem saraf penglihatan dan boleh menyebabkan hilang penglihatan secara kekal dan juling.

“Rabun berlaku apabila mata tidak dapat melihat sesuatu objek dengan jelas kerana tidak dapat fokuskan imej yang terbentuk kepada retina mata disebabkan oleh saiz (panjang atau pendek) bola mata itu sendiri,” katanya.

Pakar itu memberitahu, secara puratanya saiz bola mata adalah sepanjang 23 milimeter (dari hadapan kornea hingga ke permukaan retina). Semakin panjang bola mata maka imej yang terbentuk akan jatuh di hadapan retina.

“Keadaan ini dinamakan rabun jauh (miopia) Sebaliknya sekiranya bola mata semakin pendek maka imej yang terbentuk akan jatuh di belakang mata. Keadaan ini dinamakan rabun dekat (hiperopia ).

“Selain itu, keadaan permukaan dan bentuk kornea boleh menyebabkan gejala rabun yang dinamakan rabun silau (astigmatism). Manakala bagi rabun yang berlaku secara umum kepada individu berusia 40 tahun ke atas disebabkan faktor penuaan pada kanta mata atau dikenali sebagai presbyopia,” katanya.

FOTO NSTP
FOTO NSTP

Adil berkata, pemilihan jenis, tempoh pemakaian dan cara penjagaan kanta lekap yang selamat adalah bergantung kepada indikasi penggunaan kanta lekap dan masalah atau penyakit mata sedia ada pada pengguna kanta lekap itu sendiri.

“Bukan semua pesakit masalah rabun sesuai dan selamat untuk menggunakan kanta lekap. Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor pakar mata atau pegawai optometri yang bertauliah terlebih dahulu untuk pemeriksaan mata dan mengetahui sama ada anda sesuai atau tidak menggunakan kanta ekap.

“Penggunaan kanta lekap tanpa nasihat pakar mampu mengundang bahaya yang boleh mengakibatkan buta kekal,” katanya.

Jelasnya, kanta lekap berlaku sentuhan fizikal pada permukaan kornea dan ini mendedahkan kornea tersebut kepada risiko kecederaan fizikal sewaktu lekapan dan menanggalkannya.

ULSER mata boleh berlaku jika kebersihan tidak dijaga. FOTO NSTP
ULSER mata boleh berlaku jika kebersihan tidak dijaga. FOTO NSTP

“Kecederaan ini mampu mengakibatkan jangkitan kuman yang serius kepada kornea (ulser kornea)

dan boleh mengakibatkan kornea bocor. Jangkitan boleh merebak ke dalam bola mata dan akibat jangkitan serius kepada bola mata.

“Kebutaan kekal sering berlaku akibat jangkitan sebegini. Di samping itu, gangguan kepada penyampaian oksigen dan nutrisi kepada kornea akan menambahkan lagi risiko kecederaan dan jangkitan pada kornea,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, tempoh maksimum pemakaian kanta lekap sehari adalah bergantung kepada jenis dan indikasi memakainya.

“Secara am, pemakaian berterusan melebihi 10 hingga 12 jam sehari akan meningkatkan risiko kecederaan dan jangkitan. Pemakaian kanta lekap semasa tidur adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:05 AM