FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sembilan menafikan dakwaan membenarkan pemberian vaksin secara terus di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri S Veerapan berkata, terdahulu, pihaknya melalui CITF menerima aduan awam berkaitan hantaran di Facebook (FB) tentang perkara terbabit.

"Maklumat di FB itu tidak benar. CITF Negeri Sembilan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau membenarkan kehadiran secara terus ke mana-mana PPV awam atau swasta yang sedang beroperasi di negeri ini.

"Semua pemberian vaksin di Negeri Sembilan dilaksanakan melalui janji temu yang diselaraskan oleh aplikasi MySejahtera.

"Orang ramai dinasihati tidak datang ke mana-mana PPV di Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini untuk mendapatkan suntikan secara terus, sebaliknya patuhi janji temu yang diberi melalui MySejahtera," katanya pada kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:57 PM