Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Lelaki yang bergurau memiliki bom di Lapangan Terbang Tawau, Khamis lalu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak sebagai Majistret pada prosiding itu, selepas tertuduh, Saddam Buklau, 30, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh yang bekerja sebagai polis bantuan di Selangor dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Saddam dituduh menakutkan secara jenayah dan mendatangkan kegusaran kepada Marylisa Tahir di hadapan kaunter pendaftaran masuk penerbangan, Kaunter 03 Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Tawau di sini, pada 8.20 pagi, 20 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Saddam Buklau, 30, dihukum denda RM2000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan melakukan ugutan jenayah di Lapangan Terbang Tawau, pada Khamis lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh, Saddam Buklau, 30, dihukum denda RM2000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan melakukan ugutan jenayah di Lapangan Terbang Tawau, pada Khamis lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Patmanathan manakala, tertuduh diwakili peguam Jhesseny Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Jhesseny merayu hukuman penjara tidak dikenakan ke atas anak guamnya mengambil kira tertuduh mempunyai anak yang masih kecil selain, pengakuan bersalah dibuat sudah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Saddam membayar denda dikenakan ke atasnya.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan tertuduh selepas bergurau dengan mendakwa beg galas dibawa mengandungi bom apabila ditanya oleh petugas kaunter daftar masuk penerbangan di Lapangan Terbang Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 2:11 PM