Foto hiasan
Foto hiasan
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Berkumpul tanpa penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka mengundang padah kepada 16 lelaki apabila mereka dikompaun RM4,000 setiap seorang dalam pemeriksaan polis di hadapan pondok tidak bernombor, Kampung Sungai Layar Hujung di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 51 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua yang ditahan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun.

Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai alasan munasabah duduk berkumpul dengan tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.

"Kesemua lelaki yang ditahan didapati berkumpul sedang berurusan jual beli air ketum.

"Mereka turut disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mengikut Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, kesemua mereka dikompaun mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021.(Aktiviti terlarang bilangan 11).

"Kesemua mereka diterangkan supaya kompaun yang dikenakan perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 11:39 PM