WARGA emas, Ruminah Idris, 97, mendapatkan suntikan vaksin di Hospital Pakar KPJ Batu Pahat sambil diperhatikan cucunya, Muhammad Amalludin Amin. FOTO Bernama
WARGA emas, Ruminah Idris, 97, mendapatkan suntikan vaksin di Hospital Pakar KPJ Batu Pahat sambil diperhatikan cucunya, Muhammad Amalludin Amin. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua kepada golongan warga emas dan rentan mulai menunjukkan tanda awal keberkesanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berdasarkan pengurangan jangkitan serius bagi kategori empat dan lima.

Menurutnya, keberkesanan itu juga boleh dilihat menerusi penurunan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit warga emas.

"Keberkesanan PICK fasa dua menunjukkan keberkesanan kepada warga emas dan golongan rentan.

"Kes kemasukan hospital juga berkurangan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Seramai 2.3 juta warga emas mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin melalui fasa dua.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilapor berkata, secara keseluruhan 4.1 juta dos vaksin yang diberikan dalam fasa kedua merangkumi orang kurang upaya (OKU) dan individu yang mempunyai komorbiditi.

Bagi meningkatkan jumlah penerima suntikan warga emas, kerajaan turut membenarkan mereka 'walk-in' di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai Sabtu lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:23 AM