Peralatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai kini disiti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). FOTO Mohd Rafi Mamat
Peralatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai kini disiti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TINDAKAN pantas Unit Tindakan Khas, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya mematahkan cubaan melakukan aktiviti melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis semalam.

Pemeriksaan di tempat kejadian menemui beberapa peralatan melombong termasuk jengkaut yang digunakan untuk mengali lubang serta memindahkan tanah untuk proses pengasingan bahan galian.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Nor Azirim Ahmad berkata, siasatan dilakukan mendapati beberapa individu melakukan aktiviti terbabit dan mereka baharu sahaja memulakan kegiatan itu selepas berjaya mengesan lokasi terdapatnya emas.

Menurutnya, Hutan Simpan Ulu Jelai antara kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan melombong emas secara haram yang aktif di negeri ini.

“Pihak terbabit menggunakan kaedah moden dan manual bagi mendapatkan bahan galian berkenaan yang harganya dikatakan tinggi.

“Anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tetap meneruskan tugas pemantauan aktiviti yang menyalahi undang-undang walaupun ketika wabak Covid-19 melanda negara,” katanya.

Nor Azirim berkata, pihaknya bertindak menyita peralatan melombong dan jengkaut serta cuba mengesan pihak yang terbabit melakukan aktiviti melombong emas secara haram termasuk berada dalam hutan simpan tanpa permit.

“Kebiasaannya pihak yang terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram ini mempunyai pengalaman luas dengan kegiatan berkenaan.

“Pendapatan yang lumayan mendorong pihak terbabit sanggup melakukan kesalahan itu,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada individu yang ingin melakukan aktiviti melombong emas secara haram termasuk memindahkan balak tanpa permit kerana anggota penguat kuasa daerah dan negeri melakukan rondaan pemantauan setiap hari.

“Minggu lalu kita berjaya menahan tiga warga Myanmar dan Thailand berusia 23 hingga 31 tahun yang melakukan aktiviti melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Aur Gading.

“Turut disita pelbagai peralatan melombong termasuk jengkaut, palong emas, enjin penjana elektrik, pemotong kayu bergergaji, pam penyedut air dan bateri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 1:17 PM