GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu setelah audit penuh dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan berikutan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini agar audit dijalankan sebelum agihan dividen.

"Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya-Allah menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi asnaf di sini malam ini.

Ditanya jika agihan pada tahun ini akan membawa khabar gembira kepada pendeposit, Na'im meluahkan harapan supaya pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.

"Sebab ia tabung yang sama kalau kita berikan dividen yang tinggi ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji B40 dan M40, jadi pihak pengurusan tertinggi TH, saya harap dapat memikirkan dan mencari jalan yang terbaik," katanya.

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 12:27 AM