SEORANG pengguna Facebook dikenali ‘John Tan’ memuat naik video itu yang memaparkan beberapa bungkusan barang dibaling di hadapan premis syarikat kurier, J&T.  FOTO FB John Tan
SEORANG pengguna Facebook dikenali ‘John Tan’ memuat naik video itu yang memaparkan beberapa bungkusan barang dibaling di hadapan premis syarikat kurier, J&T. FOTO FB John Tan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan siasatan jika menerima aduan berhubung penularan video dipercayai menunjukkan bungkusan barang pelanggan syarikat kurier, J&T Express (J&T) dibaling.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata pihaknya memerlukan bantuan dan maklumat orang awam terutama individu yang menularkan video berdurasi 31 saat itu di Facebook bagi membolehkan tindakan undang-undang dilaksanakan mengikut keperluan.

"Kadang-kadang video lama ditularkan semula. Kita juga kena faham tindakan undang-undang perlu melalui aduan. Rangkaian perkhidmatan kurier besar dan pemegang lesennya ramai.

"Kalau aduan diterima sudah tentu SKMM akan siasat. Kalau didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka yang terbabit," katanya pada BH, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dikenali 'John Tan' memuat naik video itu yang memaparkan beberapa bungkusan barang dibaling di hadapan premis J&T.

Pengguna Facebook itu secara sinis mengatakan barang pelanggan akan dihantar dalam keadaan selamat dan kemik.

Fadhlullah berkata, pihaknya berharap orang ramai tidak sekadar memuat naik kenyataan atau video sesuatu insiden di media sosial, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan susulan.

"Kita buat pemantauan, namun tidak boleh pantau semua video ditularkan di media sosial.

"Juseru, kita harap orang ramai buat aduan. SKMM tidak boleh mulakan siasatan berdasarkan video tular sahaja.

"Orang yang muat naik video pun kadang-kadang tiada maklumat lanjut. Media sosial ada masanya dijadikan sebagai platfrom menulis surat layang. Kita perlu ikut proses undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:25 PM