GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 30 kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Pahang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 21 daripadanya adalah kluster tempat kerja manakala empat kluster komuniti.

"Selain itu, tiga lagi kluster berkaitan pusat tahanan serta masing-masing satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan.

"Sebanyak 3,029 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,164 kluster dilaporkan tamat serta 865 kluster masih aktif, setakat hari ini," katanya pada kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia sehingga semalam adalah sebanyak 1.09.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Putrajaya dengan 1.28.

"Selain itu, negeri lain yang turut mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 adalah Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.14), Pahang (1.10), Kedah (1.08), Sabah (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.06), Terengganu (1.04) dan Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, situasi peningkatan kes di Selangor dan Kuala Lumpur sudah dijangkakan berikutan peningkatan saringan bertumpu yang giat dijalankan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta kilang.

"Ramai individu di Lembah Klang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19.

"Mereka adalah dalam kalangan individu berisiko tinggi seperti yang bergejala atau kontak rapat.

"KKM akan terus menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat dan tindakan pengasingan kes positif Covid-19 bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak itu dalam komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:30 PM