SEBAHAGIAN 13 individu yang dikompaun kerana tidak mematuhi SOP dengan berkumpul dalam sebuah rumah di Kampung Jeniang, Gurun. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN 13 individu yang dikompaun kerana tidak mematuhi SOP dengan berkumpul dalam sebuah rumah di Kampung Jeniang, Gurun. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tindakan 13 individu berkumpul tanpa penjarakan fizikal dalam sebuah rumah di Kampung Jeniang, Gurun, mengundang padah apabila mereka dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggota Balai Polis Gurun melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan pada jam 10.30 malam tadi.

Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi, didapati seramai 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 27 hingga 45 tahun berada dalam rumah sedang bersembang dan makan dengan tiada penjarakan sosial.

"Mereka memberi alasan hendak memasang bendera Palestin namun hasil pemeriksaan mendapati tiada bendera di rumah berkenaan.

"Namun apa jua alasan, mereka didapati tidak mematuhi SOP PKP dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, siasatan mendapati mereka tiada alasan munasabah berkumpul dengan tiada penjarakan sosial malah ketika itu sedang bersembang dan makan.

Beliau berkata, semua individu terbabit diterangkan kesalahan yang dilakukan dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka mempunyai hubungan rakan.

"Mereka dikompaun di bawah Perkara 9 Peraturan Pencegahan Pengawalan Dan Penyakit Berjangkit (PDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021. (Aktiviti terlarang Nombor 1).

"Mereka perlu menjelaskan kompaun dalam tempoh 14 hari dari tarikh dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:17 PM