GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Pembinaan MRT laluan Putrajaya kini melepasi tahap 90 peratus siap keseluruhan dengan fasa satu laluan itu bakal dibuka pada November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, tahap kemajuan untuk fasa pertama di antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Kampung Batu adalah 99 peratus.

Katanya, ketika ini operasi percubaan yang bermula pada 29 April lalu, sedang dilakukan oleh pengendali di sepanjang bahagian ini.

"Bagi memastikan pengendali mencapai tahap kecekapan yang diperlukan, MRT Corp memutuskan untuk melanjutkan tempoh operasi percubaan.

"Bagaimanapun jadual latihan asal terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dikuatkuasakan di kebanyakan wilayah Selangor dan lokasi terpilih di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Zarif berkata, MRT Corp memutuskan untuk meminda tarikh pembukaan yang dijadualkan untuk MRT Putrajaya Fasa Satu ke pertengahan November ini.

Katanya, tarikh pembukaan baharu itu dipilih untuk dilaksanakan dalam Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dijangka ketika itu ekonomi negara sudah boleh dibuka sepenuhnya untuk mengadakan majlis pelancaran nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:54 PM