GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa 202,591 premis sepanjang Operasi Patuh (Op Patuh) sejak 25 Jun hingga semalam.

Jumlah itu membabitkan 25,651 kilang dan 169,629 premis perniagaan di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemeriksaan juga turut dilakukan ke atas 6,258 tapak pembinaan dan 1,053 asrama penempatan pekerja.

"Dalam Op Patuh ini, pasukan pemeriksaan oleh PDRM bersama agensi lain mengeluarkan kompaun terhadap 1,919 premis yang didapati melakukan kesalahan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Selain itu sebanyak 250 premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diarahkan tutup," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Acryl Sani berkata, seramai 23,855 pegawai dan anggota PDRM bersama agensi lain membabitkan 5,366 pasukan pemeriksaan ditugaskan dalam Op Patuh di seluruh negara.

"Semua pihak diingatkan untuk terus mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:10 PM