GAMBAR hiasan. FOTO ihsan ChameleonsEye
GAMBAR hiasan. FOTO ihsan ChameleonsEye
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun yang menjadi mangsa culik di Taman Seri Andalas Klang kelmarin berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kepong, semalam.

Kanak-kanak itu diculik seorang wanita warga Indonesia di rumah pengasuhnya kira-kira 4 petang kelmarin.

Ketika kejadian, wanita itu yang mengenali pengasuh berkenaan melarikan kanak-kanak itu ketika pengasuhnya ke bilik air.

Suspek melarikan kanak-kanak itu bersama seorang lelaki yang menunggu di dalam kereta di luar rumah pengasuh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan itu polis melancarkan operasi sebelum berjaya menahan dua wanita berusia 25 dan 40 tahun termasuk suspek utama di sebuah pasar raya di Damansara.

Katanya, hasil penahanan itu polis berjaya menemui mangsa di sebuah rumah di Kepong kira-kira 5 petang semalam.

"Turut ditahan seorang lelaki berusia 26 tahun di Bandar Bukit Tinggi Klang.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk pemeriksaan manakala suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 11:37 AM